Blogger Layouts

Friday, May 20, 2011

Mengetahui Isyarat Memilih Jodoh Solat Istikharah


Soalan: 

Di sini saya mempunyai kemusykilan tentang sembahyang istikharah. Kebanyakan buku-buku agama yang saya baca mengatakan setelah melakukan sembahyang tersebut dan di mana rasa berat hati dalam memilih suatu keputusan itu, maka keputusan itulah yang sepatutnya diikuti. Tetapi ustaz, masalahnya rasa berat hati kita itu, kita tidak tahu sama ada ianya adalah mengikut petunjuk Allah ataupun mengikut nafsu diri sendiri. Dengan itu, ada saya menemui satu buku yang mengatakan petunjuk itu boleh diperolehi dalam mimpi. Caranya ialah sesudah kita melakukan solat istikharah tersebut, kita tidur dengan pakaian yang bersih dan berwuduk dan jangan memikirkan perkara lain selain daripada apa yang dihajatkan. Insya-Allah petunjuk itu akan diperolehi dalam mimpi.
Jika benar kita bermimpi semasa tidur itu, maka adakah sahih petunjuk itu atau adakah mimpi itu juga boleh dikatakan datang dari nafsu kita sendiri? Ini adalah kerana setahu saya mimpi orang biasa seperti saya ini tidak benar-benar boleh dipercayai. Mungkin ia datang daripada syaitan. Petunjuk yang ingin saya perolehi adalah tentang adakah teman lelaki yang saya dampingi kini adalah benar-benar calon suami saya. Ada rakan saya (lelaki) yang pernah mendapat petunjuk dalam mimpi tentang perkara yang sama. Katanya dia nampak wajah teman wanitanya dalam mimpinya itu. Dengan itu, dia yakin petunjuk itu adalah dari Allah. Adakah petunjuk itu boleh diterima pakai? Oleh sebab itulah saya mengemukakan soalan ini, adakah relevan suatu petunjuk itu diperolehi melalui mimpi?
Nur, Selangor
Jawapan: 

Solat Istikharah selain daripada untuk menetapkan suatu pilihan yang kita ragui ia juga digalakkan untuk orang yang bimbang memilih jodohnya. Diriwayatkan oleh ahmad dan abu Ayyub al Anshari bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya yang bermaksud: "Sembunyikanlah pinanganmu, kemudian berwudhuklah dan perbaikilah wudhukmu, kemudian lakukanlah solat seberapa yang ditetapkan oleh Allah (maksudnya seberapa yang dikehendaki). Sesudah itu pujilah Allah, kemudian ucapkanlah: "Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Berkuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Mengetahui, sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau Mengetahui segala yang ghaib. Jika Engkau mengetahui bahawa si fulan/fulanah (sebutkan nama lelaki atau perempuan yang dimaksudkan) baik untukku, untuk agamaku, duniaku dan akhiratku, maka berilah dia untukku. Jika yang selainnya lebih baik daripadanya untukku,untuk agamaku, untuk duniaku dan akhiratku, maka berilah yang lain itu untukku".
Sesungguhnya solat istikharah adalah merupakan suatu pernyataan yang tulus bagi setiap peribadi mukmin, bahawa melalui solat tersebut mereka meniadakan kehendak peribadinya dan menyerahkan diri dan urusannya sepenuhnya kepada Allah SWT. Jika kita telah melakukan solat istikharah dengan akidah dan jiwa yang bersih, maka insya Allah  kenderungan hati dan petunjuk daripadaNya akan datang. Tidak kiralah apakah sedang mengerjakan solat ataupun kecenderungan suasana hati kepada salah satu pilihan dan boleh juga melalui mimpi jika tidur kita disertai wuduk dan doa. Setelah menyerahkan segalanya kepada Allah SWT, hilangkan perasaan was-was dan ragu-ragu agar keputusan yang terbaik itu memang merupakan kebenaran dan bukan kerana hawa nafsu.

No comments:

Post a Comment