Blogger Layouts

Wednesday, October 19, 2011

Elak Mitos Bila Hamil Gerhana Cinta


Bagaimanakah perasaan anda apabila menerima berita bahawa anda hamil? Tentu seronok bila membayangkan wajah comel bayi yang akan mewarnai hidup anda menjadi lebih ceria. Pengalaman mengandung sungguh mencabar setiap pasangan suami isteri. Kehadiran bayi yang ditunggu dari hari ke hari, minggu ke minggu dan genapnya pada sembilan bulan adalah merupakan satu proses mendewasakan anda dan suami.

Namun demikian ada juga pasangan yang tidak menginginkan kehadiran anak kerana sebab-sebab tertentu. Isteri takut kehilangan suami kerana pada saat hamil dia tidak dapat memberikan kepuasan sepenuhnya ketika melayan suami, maka timbullah perasaan cemburu. Suami pula melalui pahit getir menjaga perasaan isteri yang cepat tersentuh, hilang pertimbangan dan emosional ketika hamil. Jika tiada kesabaran dalam hati, pasti terjadi sengketa yang amat menyakitkan.

Apakah faktor-faktor yang menyuburkan hubungan percintaan anda dan suami semasa mengandung?

1. Berada dalam zon iman
Sebagai pemimpin di dalam keluarga, suami diharap dapat menyediakan suasana selesa dalam rumahtangga. Dialah ketua yang bertanggungjawab memberi sinar kebahagiaan. Sinar bahagia itu berpunca daripada iman yang kukuh kepada Allah Taala. Solat perlu menjadi amalan yang paling diminati walaupun banyak lagi jenis-jenis hiburan yang boleh dilakukan di rumah. Solat menjadi terminal tempat persinggahan hati semua anggota keluarga. Saat solat berjemaah itulah masa paling berkualiti untuk mengeratkan kasih sayang suami, isteri dan anak-anak.

Siapakah yang dapat menyatukan hati-hati kita jika bukan kerana Allah Azza Wa Jalla? Bila isteri merajuk, anak-anak tak terkawal, fikiran suami berserabut, semua orang di dalam rumah menjadi tak keruan, rumah yang besar pun berasa sempit. Semua itu adalah tanda-tanda Allah Taala mengazab mereka. Azab bukan bermakna musibah sakit atau bencana alam sahaja, tetapi lebih daripada itu, azab yang turun ke dalam hati manusia yang membuat mereka mabuk dan tertekan oleh keadaan. Azab yang Allah SWT turunkan ini berpunca daripada terkeluarnya suami dan isteri dari zon iman kepada Allah Taala.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku ia tidak akan sesat dan celaka. Dan barangsiapa yang berpaling tadah, tidak ingat kepada-Ku maka baginya kehidupan yang sempit.” (Surah Taha ayat: 123)

2. Tumpuan anda sebagai isteri ialah jagalah hati dan kawal perasaan. 
Isteri yang mengandung pada hakikatnya sangat tertekan dengan perubahan yang terjadi pada dirinya. Untuk itu anda sememangnya mesti menghayati masa-masa sulit itu dengan penuh reda. Apakah definisi reda? Bagaimanakah mendapatkannya?

Pada suatu hari Sufyan al-Thauri berdoa: “Ya Allah aku memohon keredaan-Mu.” Tiba-tiba Rabiah menegur beliau: “Apakah engkau tidak malu meminta reda-Nya sedangkan engkau sendiri belum reda kepada-Nya? Lantas beliau menangis sambil mengucapkan lafaz istighfar berulang-ulang.

Rabiah pernah ditanya oleh seorang muridnya: “Bilakah seseorang reda kepada Allah?” Beliau menjawab: “Apabila kegembiraannya ketika ditimpa musibah sama seperti ketika dia mendapat nikmat.”

Sesungguhnya bukan mudah belajar untuk bersikap reda menerima qadak dan qadar-Nya. Apabila anda berasa tertekan, ucapkanlah selalu di dalam hati: “Oh Tuhanku, apa sahaja yang terjadi pada diriku, hamba reda dengan ketentuan-Mu, ya Allah.”

3. Jangan suka bertangguh.
Untuk mendapatkan keceriaan di wajah, anda mesti mengatur jadual hidup dengan baik. Jangan tangguh kerja-kerja anda hingga berlonggok. Anda tak akan larat melakukannya seperti dulu. Apabila di rumah, jangan biarkan diri anda melakukan sesuatu yang tak sanggup anda kerjakan. Berterus terang kepada suami dan berbincang tentang kerja-kerja rumahtangga yang mesti diagihkan sesuai kemampuan anda. Jauhkan diri dari punca stress.

4. Berhiaslah, manjakan diri anda dengan merawat seluruh tubuh.
Sayangilah diri dengan penjagaan kesihatan yang rapi, diet yang seimbang, rehat yang cukup dan rawatan kecantikan yang boleh membantu mengubat stress. Jangan layan perasaan yang memudaratkan anda. Perasaan sedih dan risau memang menjadi tetamu yang datang tak diundang. Usah layan emosi negatif itu.

5. Nikmati hubungan intim bersama suami dengan sepenuh hati.
Segala perbuatan itu bergantung dengan niat di hati. Jika anda ikhlas melayan suami tanpa perasaan marah dan dendam, Insya Allah hubungan itu akan berjalan dengan kepuasan di jiwa masing-masing. Sepatutnya anda menggandakan usaha untuk menyemarakkan lagi cinta di hati. Kepuasan suami bukan hanya tertumpu kepada faktor seksual saja, tetapi ketulusan hati isteri mencintainya amat dia hargai. Sikap menghormati dan menghargai jerih payah suami diharap mampu mengikat kasih sayang mereka. Jagalah hati dan perasaan suami itu, yang paling penting agar dia pun seronok menjaga anda sepanjang hidupnya.

No comments:

Post a Comment